Friday, October 9, 2009

Pengertian Ikhlas

Ikhlas merupakan perkara asas dan natijah iman yang tinggi. Ia merupakan satu kedudukan yang tinggi dalam din dan akhlak para insan Rabbani. Allah tidak menerima satu amal atau perbuatan tanpa disertai keikhlasan.

Firman Allah Subhanahuwata’ ala yang bermaksud:
"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus" (Al-Bayyinah: 5)
“Ingatlah hanya kepunyaan Allah din (cara hidup) yang bersih daripada syirik”(Az-Zumar:3)
“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabnya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia menyengutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”
(Al-Kahfi:110)

Setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan kerjanya kerana Allah Subhanahuwata’ ala.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwas allam, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa-i, menjelaskan (yang bermaksud):
“Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya”
Dalam hadis riwayat Ahmad dijelaskan tentang kepentingan niat dan ikhlas serta implikasinya dalam realiti kehidupan (yang bermaksud):
“Barangsiapa menikahi wanita dengan mas kahwinnya, sedangkan ia tidak berniat memberinya, maka ia berzina. Dan sesiapa berhutang, sedangkan ia tidak berniat untuk membayarnya, maka ia adalah pencuri”
Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan:
“Hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat, dan hanyasanya setiap urusan dengan apa yang diniatkannya”




Muslim yang ikhlas dalam kerjanya akan terhindar daripada sombong, riyak dan mengharapkan penghargaan makhluk. Ali bin Abi Talib ra pernah berkata (yang bermaksud):
“Orang riyak itu memiliki empat tanda:
1. Malas ketika bersendirian
2. Bersemangat ketika berada di tengah manusia ramai
3. Bertambah amalannya jika dipuji, dan
4. Berkurangan amalan jika tidak mendapat pujian”


Pengertian Ikhlas
Ikhlas adalah salah satu daripada amalan hati. Maksud ikhlas ialah melakukan sesuatu semata-mata mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan lain seperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan, meminta pujian atau lari dari kejian, mengikut hawa nafsu tersembunyi atau lain-lain yang bukan kerana Pencipta. Orang yang iklas melakukan kerja-kerja semata-mata untuk taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ ala).
Mengikut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi ikhlas ialah:
“Menghendaki keredhaan Allah dengan suatu amal, membersihkan dari segala noda individu dan duniawi. Tidak ada maksud yang lain untuk melakukan suatu amal kecuali kerana Allah dan demi hari akhirat. Tidak ada noda yang mencampuri suatu amal seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri sendiri sama ada secara jelas mahu pun tersembunyi, menghendaki harta rampasan, syahwat, kedudukan, harta benda, supaya dihormati atau disanjungi oleh orang ramai, takut dicela, mengambil kesempatan di hadapan orang-orang tertentu, menyimpan rasa dengki yang tersembunyi, melayani rasa dengki tidak kelihatan, kesombongan yang terselubung, atau kerana alasan-alasan lain tidak terpuji, intipatinya ialah menghendaki selain Allah dengan suatu amal, siapa pun dan apa pun.”
Landasan amal ikhlas ialah memurnikan niat kerana Allah semata. Maksud niat di sini adalah pendorong kehendak manusia untuk mewujudkan suatu tujuan yang dituntutnya. Maksud pendorong adalah penggerak kehendak (force drive) manusia yang mengarah kepada amal. Sedangkan tujuan pendorongnya amat banyak dan bermacam ragam. Ada yang bersifat kebendaan, kerohanian, bersifat individu atau sosial.
Muslim yang ikhlas adalah jika pendorong di dalam hatinya mengalahkan pendorong hawa nafsu dan kepentingan akhirat mengalahkan kepentingan dunia. Ia mementingkan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di sisi manusia. Ia menjadikan niat, perkataan dan amalnya untuk Allah Subhanahuwata’ ala (seperti solah, ibadah, hidup dan matinya adalah untuk Allah Subhanahuwata’ ala, Rab sekelian alam). Inilah ikhlas.


Kepentingan Ikhlas
Abu Hamid Al-Ghazali dalam Mukaddimah An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq berkata:
“Dengan hujah iman yang nyata dan cahaya al-Quran, orang-orang yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti binasa kecuali orang-orang berilmu. Orang-orang berilmu pasti akan binasa kecuali orang aktif beramal. Semua yang aktif beramal akan binasa kecuali yang ikhlas”
Amalan tanpa niat adalah kebodohan. Niat tanpa ikhlas adalah riyak dan sia-sia. Allah Subhanahuwata’ ala berfirman tentang amal yang dimaksudkan selain daripada-Nya akan menjadi sia-sia:
“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu sebagai debu berterbangan”
(Al-Furqan:23)
Ada pendapat mengatakan bahawa ilmu laksana benih, amal laksana tanaman dan airnya adalah ikhlas. Kerja yang tidak disertai ikhlas, ibarat gambar yang mati dan tubuh tanpa jiwa. Allah Subhanahuwata’ ala melihat hakikat amal yang ikhlas, bukan rupa dan bentuknya semata-mata. Dia menolak pelakunya yang tertipu dengan amalnya.
Dalam hadis sahih riwayat Abu Hurairah, daripada Nabi Sallallahu’alaihiwas allam, baginda bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu.”
(Riwayat Muslim)
Allah berfirman tentang orang-orang berkorban yang menyembelih haiwan yang bermaksud:
“Daging-daging dan darah itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi taqwa daripada kamulah yang dapat mencapai keredhaan-Nya”
(al-Hajj:37)
Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa ikhlas sangat penting kerana ianya adalah:

1.Asas iman dan Islam.
2.Garis pemisah sama ada amalan atau kera-kerja diterima atau ditolak oleh Allah Subhanahuwata’ ala. Kerja yang diterima oleh Allah Subhanahuwata’ ala mempunyai dua rukun iaitu:
a. Ikhlas atau niat yang betul.
b. Cara-cara beramal yang bertepatan dengan sunnah atau syara’.

Contoh-contoh amalan atau kerja yang bercampur dan tidak ikhlas semata-mata kerana dan kepada Allah Subhanahuwata’ ala:

1.Menuntut ilmu dengan tujuan meningkatkan profesionalisma atau kerjaya atau dipandang mulia oleh masyarakat.
2.Mengajar atau berbincang-bincang tentang ilmu pengetahuan dengan tujuan mendapat penghormatan dari kalangan ilmuan, mempertajamkan pemikiran, kepetahan berbicara atau melepaskan diri daripada kesunyian.
3.Menziarahi pesakit dengan tujuan agar ia sendiri diziarahi jika ia sakit nanti.
4.Melakukan kebaikan dengan tujuan supaya ia dikenali sebagai orang baik, berhati mulia, disegani dan dihormati.


Kesimpulan

Allah Subhanahuwata’ ala tidak menerima amal tanpa keikhlasan sebagaimana yang dikatakan oleh Sulaiman ‘Alaihissalam dalam al-Quran yang bermaksud:
“Ya Rab-ku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal salih yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba- Mu yang salih”
(An-Naml:19)
Allah Subhanahuwata’ ala meredhai amalan yang baik jika disertai dengan keikhlasan, terlepas daripada syirik, sama ada kecil mahu pun besar, sama ada kelihatan mahu pun tersembunyi. Firman-Nya yang bermaksud:
“Barangsiapa mengharapkan perjumpaan dengan Rab-nya, maka hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia menyekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rab-nya.”
(Al-Kahfi:110)
Keikhlasan tidak akan sempurna kecuali dengan niat yang tulus semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ ala dan terlepas daripada kecenderungan individu atau duniawi. Dalam erti kata lain manusia mestilah bergantung kepada Rab-nya. Hanya dengan cara itu Allah Subhanahuwata’ ala akan memberinya kekuatan sebagai ganti kelemahan, keamanan sebagai ganti ketakutan dan kecukupan sebagai ganti kemiskinan.
Hanya keikhlasan dapat membantu manusia mengawal diri dan syahwat (atau keinginan) yang tersembunyi, kerana sesungguhnya keinginan yang tersembunyi itu lebih merbahaya daripada apa-apa yang kelihatan. Hendaklah setiap muslim melakukan sesuatu perkara tulus ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ ala. Semua yang ada pada dirinya hanya untuk Allah Subhanahuwata’ ala. Firman-Nya yang bermaksud:
“Dan, barangsiapa menyerahkan diri kepada Allah, sedang dia adalah orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang pada tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala sesuatu.”
(Luqman:22)


dipetik dari tulisan Tuan Hj Muhammad Ghani Salleh Dengan merujuk kepada kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999.)


Jumaat Mubarak
Mami

No comments:

Post a Comment